Mempelbagai Sumbangan Sedekah

MUSLIM yang bersedekah, menderma dan menginfak harta semata-mata kerana Allah SWT akan menerima ganjaran besar di akhirat nanti. Firman Allah SWT, dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud, “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”.

Usaha menginfak harta bukan hanya difahami dalam konteks yang biasa dilakukan masyarakat kita, iaitu memberi sumbangan kepada golongan fakir miskin, anak-anak yatim, pembinaan masjid serta surau dan sebagainya. Kita boleh meluaskan ufuk pemikiran kita mengenai konsep infak ini apabila kita menyumbangkan sedikit harta kurniaan Allah SWT itu untuk pembangunan dan pembinaan minda, intelek, fizikal, sosial dan emosi umat dan masyarakat.

Ini termasuklah pembinaan institusi pendidikan, kesihatan, aktiviti penyelidikan ilmiah dan sebagainya. Melalui ayat 262, surah al-Baqarah, Allah SWT mengingatkan bahawa hasrat untuk menginfak kurniaan Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam ayat sebelumnya itu perlu mematuhi syarat tertentu agar ia mencapai tahap dan piawaian keredaan Allah SWT.

// //

Kegiatan infak harus berlandaskan keikhlasan tanpa ada unsur riak, mengungkit-ungkit pemberian dan menyakiti perasaan serta emosi penerima. Pemberian seperti itu tidak memberi makna apa-apa dan tidak bernilai di sisi Allah, seperti yang ditegaskan, “Wahai orang yang beriman, jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir” (al Baqarah: 264).

No comments: