- Antara kepandaian pelajar Universiti dan kecerdikan pelajar Pondok!!

Alhamdulillah! Syukur pada Allah taala, sudah tiga bulan ana menuntut di Pondok Pasir Tumboh.Dalam tulisan kali ini, ana cuba nak kaitkan satu persoalan mengenai kelulusan pendidikan sekular dengan pendidikan Islam.

Selama menuntut di Pondok hati ana ini boleh disifatkan tidak puas kalau hal ini tidak diluahkan. Seolah-olah ana hendak menyembunyikan satu persoalan yang sangat penting. Sebab itu ana cuba nak bandingkan ketinggian pengajian antara kedua ilmu ini.

Kita lihat pada kelulusan daripada Universiti dan kemudiannya kita nilaikan ia dengan kelulusan Pondok. Maka berdasarkan nilaian ini tentulah kelulusan daripada Universiti lebih mantap atau ‘gah’ dan lebih diterima sebagai satu pengukur kehebatan yang berkelayakan terutamanya oleh golongan intelek.

Kerana pada zaman ini kelulusan akademik yang tinggi sudah lazim dijadikan ukuran untuk melihat seseorang itu hebat di mata masyarakat. Soal kemampuan, kebolehan, keupayaan, keikhlasan dan lainnya itu sudah tidak dikira sebagai ukuran utama.

Bukankah di tengah-tengah masyarakat manusia di seluruh dunia hari ini, siapa saja yang keluar dari Sekolah, Kolej atau Universiti kejayaanya akan diukur dari sijil? Pencapaianya pula dinilai dari jenis sijil yang diperolehi sama ada sijil Sekolah, sijil Kolej atau sijil Universiti.

Di Universiti pula ada ijazah Sarjana Muda ( BA ), ijazah Sarjana ( Masters ) dan ijazah Doktor Falsafah ( Ph.d ). Semua ini sangat menjadi nilai di dalam masyarakat hari ini. Walaupun mereka tidak tahu tahap mana sebenarnya keilmuan seseorang itu.

Padahal, tahap keilmuan seseorang yang keluar dari Universiti hari ini adalah satu bentuk keilmuan yang tidak sempurna. Ia bingung! Ia tidak berantai-rantai dengan keseluruhan ilmu.

Kita ambil satu contoh seorang doktor, mungkin pakar dalam bidang perubatan jantung sahaja dan tak pula pakar dalam bidang pembedahan. Dia juga tidak tahu di dalam lain-lain penyakit. Tapi tetap disebut sebagai seorang doktor. Mana orang tahu dia itu doktor apa?

Bigitulah juga dengan kelulusan di bidang-bidang lain, keilmuan hanya di satu-satu sudut sahaja. Tapi oleh kerana sudah lumrah berlaku demikian di zaman ini. Orang yang pandai itu diukur mengikut kelulusan yang diperolehinya, maka kalau seorang itu lulus dengan ijazah dari Universiti, dialah yang paling layak dianggap sebagai orang yang berilmu seterusnya dianggap hebat.

Sebaliknya seorang itu mempunyai kelulusan yang rendah berdasarkan keterangan sijilnya, secara umumnya orang ramai menganggap ilmu pengetahuannya cetek. Orang macam ini tentulah mereka kira tidak layak untuk berdiri di tengah-tengah masyarakat.

Tetapi kalau seorang itu lulusan Universiti, dia dianggap paling pandai dan paling bijak, dan kalau kita ambil keterangan ini sebagai dasar, sudah tentulah kita akan menganggap lepasan Universiti lebih pandai dari lepasan Pondok yang kebanyakannya belajar tanpa perolehi apa-apa sijil.

Kecualilah mereka dapat membuktikan mereka lebih pandai dari seorang yang berkelulusan tinggi itu melalui sudut-sudut lain, seperti melalui penulisan, percakapan dan sebagainya.
Itupun, orang yang akan mengakui keilmuannya adalah orang-orang yang cerdik pandai serta mereka yang mempunyai fikiran. Kerana mereka ini boleh menilai kekuatan minda dan fitrah seseorang itu walaupun dia tidak disokong oleh sijil.

Tetapi bagi masyarakat umum, mereka tetap berpegang kepada kepercayaan bahawa orang yang pandai itu mesti mempunyai kelayakan Universiti.

Apa pun cuba kita lihat nilaian orang yang terdahulu pada seorang yang berjaya sehingga menjadi tokoh terkenal sebelum kita di jajah dahulu. Kelulusan tidak di ambil kira. Memanglah! kerana waktu itu sekolah-sekolah belum lagi mengeluarkan sijil. Lebih-lebih lagi di waktu itu orang belajar secara tidak formal.

Orang ramai hanya dapat menilai kepandaian seseorang itu melalui kebolehan-kebolehan yang ada pada dirinya yang dapat dilihat seperti pandainya dia bercakap, menulis ataupun membuat sesuatu kerja dengan lebih cekap atau juga kebolehan meminpin dan mengajar orang ramai.

Begitulah orang dulu, tapi zaman sekarang ini tak lagi. Seseorang itu masih tidak dapat dianggap sebagai orang yang berilmu pengetahuan walaupun dia dapat menunjukkan kemampuan sebagai seorang yang berilmu melalui percakapannya, penulisannya dan juga pemikirannya. Sebabnya dia tak ada sijil sebagai bukti kepada ilmu pengetahuannya.

Ini merupakan satu penghinaan intelektual yang tidak boleh dimaafkan tapi sudah lumrah berlaku. Berapa ramai yang bijak pandai, cendiakawan dan pemikiran-pemikiran baru terbuang begitu saja, kerana tidak ada autoritif.

Ini adalah satu pembunuhan ilmu. Kalau orang yang tidak ada kelulusan diiktiraf sebagai orang yang berilmu dengan hanya berdasarkan kemampuan bercakap, menulis dan berfikir. Nanti akan ternafi pula keilmuan sebahagian lulusan dari Universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi.

Jesteru itu, kalau ada di kalangan orang ramai yang mahu mengiktiraf keilmuan seseorang itu melalui kemampuan bercakap, menulis dan berfikir, mereka akan tolak orang itu dan menuduhnya dengan berbagai-bagai tuduhan supaya orang ramai menolak ilmunya.

Ini adalah golongan hasad dengki yang mengatakan golongan itu tadi sebagai tak ada kelayakan untuk mengemukakan pandangan dan pendapat. Yang sebenarnya golongan hasad dengki ini rasa tercabar dengan orang yang nampaknya tak ada kelulusan itu.

Jadi kalau kita ambil sikap orang ramai terhadap ijazah dan lulusan akademik Universiti dipandang lebih pandai dari kelulusan Pondok. Namun kita tanya balik benarkah ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh pelajar pondok itu lebih rendah dari yang dimiliki oleh pelajar Universiti?

Dengan keyakinan yang Allah Taala campak dalam hati ana. Ana sungguh tidak beranggapan demikian. Ana bertambah yakin lagi apabila memahami sendiri dengan kehebatan ulama’-ulama’ dan ustaz-ustaz yang tinggi ilmunya dalam bidang agama mampu berhujjah atau bercakap tentang apa saja topik.

Baik topik Sosial, Ekonomi, Politik, Kenegaraan, Perubatan, Pentadbiran, Sejarah, Teknologi atau apa saja. Pengetahuan manusia seperti ini cukup luas. Ajukanlah apa saja soalan, Insya’Allah mereka ini pasti sudah sedia dengan jawapannya beserta dalil-dalil Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw.

Cepat pick-up sungguh mereka yang jadi ahli kitab ini. Seolah-olah otak mereka seperti komputer yang menyimpan pelbagai maklumat yang cukup lengkap. Persoalannya macam mana boleh jadi sehebat itu?

Jawapannya mudah! Perlu ditekankan disini bahawa sijil atau ijazah bukanlah satu ukuran tinggi rendahnya ilmu seseorang. Juga perlu dijelaskan bahawa ilmu itu boleh diperolehi melalui pelbagai sumber, bukan melalui lidah professor di menara gading sahaja.

Selama menuntut ilmu di Pondok, ana lihat antara amalan tradisi pelajar-pelajar Pondok ialah berjumpa dengan ustaz-ustaz atau ulama’-ulama’ untuk bertanyakan ilmu atau bermuzakarah. Lihat kata-kata hukamak : “HIDUPNYA ILMU DENGAN BERMUZAKARAH”

Jadi pada ana, yang menjadi nilai bukan pandai tetapi cerdik. Lebih-lebih lagi yang boleh dijadikan ukuran kehebatan seseorang itu ialah apabila dia bijaksana. Tetapi maklum sajalah bijaksana ini bukan anugrah oleh Allah kepada sebarang manusia.

Berbalik kepada faktor kepandaian dan ketinggian ilmu, perlu diingat bahawa ilmu yang diperolehi oleh seseorang itu adalah di antara nikmat-nikmat anugrah Allah iaitu nikmat menguasi ilmu pengetahuan.



Firman Allah swt. Dalam Al-Quran yang bermaksud “ BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH, NESCAYA ALLAH AKAN MENGAJAR KAMU ILMU” ( Surah Al-Baqarah : 282 )

Jadi apa yang jelas huraian disini ialah, tak mustahil jika belajar di Pondok tahap ilmunya jauh lebih hebat dari pelajar Universiti yang berijazah. Dengan syarat kita bertaqwa kepada Allah Taala. Dan sudah tentulah ilmu seperti ini adalah ilmu yang lebih hakiki dan meluas sampai mengatasi batas-batas ilmu yang difikirkan oleh manusia.

Maaf, ana berpanjang lebar pula dalam hal ini. Tapi kerana didesak kesempurnaan hujah, ana tak segan menulis begini. Selama di pondok, ana diajar untuk faham dan memberi faham kepada orang lain pula.

Sebagai mengakhiri tulisan kali ini, ana ingin menekankan bahawa seseorang itu akan pandai apabila ia belajar. Ibarat belakang parang, kalau diasah selalu akan lebih tajam dari matanya. Apatah lagi jika kita mengasah mata parang yang sudah tajam.

Manusia juga begitu, kalau dia sentiasa diasuh dan diajar, makan akan jadilah dia orang yang pandai. Tapi orang yang pandai belum pasti cerdik, lebih-lebih lagi belum tentu bijaksana!
Sebab itulah Agama Islam perlu didindingi oleh muslimin yang mempunyai keimanan yang teguh dan berakhlak tinggi biarpun ia kurang mempunyai ilmu duniawi kerana ia boleh dicari dan dipelajari.

Tetapi ilmu tampa iman dan akhlak akan rosak binasa dan membawa kesan kepada sesebuah negara dan masyarakat. Menusia yang menuruti perintah Allah swt. Akan merasai kebahagian di dunia dan akhirat kerana kebahagian itu hanyalah milik Allah swt yang akan mengurniakan kepada hamba yang disayangi dan yang menuruti perintah-Nya sahaja.
posted by halimislam Online @ 8:00 PM KOMEN SINI!